UMAT Islam yang benar-benar beriman sentiasa menanti-nantikan kehadiran Ramadan, bulan penuh berkat dan rahmat ini dengan gembira.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Siapa yang bergembira dengan datangnya Ramadan, maka Allah mengharamkan jasadnya masuk dalam semua pintu neraka.” – (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi).
Pada bulan suci ini, umat Islam diwajibkan puasa selama sebulan, mengikut amalan yang pernah diwajibkan kepada nabi sebelum Nabi Muhammad. Ini selaras firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 183).
Mereka yang beriman kepada Allah dan gemar melakukan kebajikan, pasti menanti-nantikan kemunculan Ramadan. Ini kerana umat Islam diberikan keutamaan dalam melakukan ibadat dan mereka yang melakukannya akan diberi nilai tambah dari segi ganjaran pahalanya, melebihi bulan lain.
Pada bulan ini, Allah akan membukakan pintu syurga dan menutup pintu neraka. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apabila tiba Ramadan, maka dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka, syaitan pun dibelenggu (dirantai)."(Hadis riwayat Muslim)
Mungkin ada yang bertanya, adakah benar syaitan dirantai pada Ramadan, sedangkan perlakuan maksiat masih juga berlaku pada bulan suci ini.
Jawapannya, adalah tidak lain kerana diri mereka yang berbuat maksiat itu (walaupun pada zahirnya mereka berpuasa) dikuasai oleh nafsu dan nafsu itu sendiri pula lebih kuat tarikannya daripada syaitan.
Ini bermakna, menurut mereka hanya perut yang berpuasa yakni tidak makan dan minum, sedangkan kaki, mata, telinga dan anggota tubuh lain tidak turut berpuasa. Jika demikian halnya, maka bererti puasa mereka tidak ada nilainya di sisi Allah.
Nabi bersabda bermaksud: “Banyak orang yang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar, dan banyak orang yang jaga malam (beribadah pada malam hari), tidak mendapat apa-apa daripada jaga malamnya, selain kurang tidur.” – (Hadis riwayat An-Nasa'iy, Ibnu Majah dan al-Hakim).
Mereka yang berpuasa juga hendaklah menahan nafsu keinginan dan sebarang godaan, menahan perkataan dan perbuatan daripada perkara tercela dan sia-sia, termasuk memelihara segala sesuatu yang boleh mengurangi nilai puasa. Inilah pengertian sebenar puasa.
Nabi bersabda bermaksud: “Bukanlah puasa itu hanya kerana tidak makan dan minum, tetapi puasa itu juga harus menahan diri daripada ucapan sia-sia dan kotor.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim).
Dalam melaksanakan puasa. kita berjuang melawan hawa nafsu, mendidik berdisiplin tinggi dan takut melanggar segala larangan Allah walaupun sekecil mungkin. Hal ini besar pengaruhnya dalam meninggikan keperibadian seseorang insan.
Puasa yang dapat membina dan membangun mentaliti manusia ialah yang dilaksanakan dengan penuh keimanan, penghayatan dan keikhlasan kepada Allah. Puasa seperti ini yang akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah berupa penghapusan dosa seseorang. Ini sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: “Siapa yang berpuasa pada Ramadan kerana iman dan penuh harap, nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu.” – (Hadis riwayat Ahmad).
Mereka yang memiliki keimanan tinggi, tentulah benar-benar berpuasa pada siang harinya. Maksud puasa di sini tentunya puasa dalam pengertian menyeluruh, bukan perut saja yang berpuasa. Sebaliknya semua anggota berpuasa.
Puasa adalah ibadat yang perlu dikerjakan dengan penuh kesungguhan, demi menjamin nilai dan hikmah berpuasa itu.
Setiap Muslim perlu meyakini bahawa setiap ibadat yang Allah perintahkan kepada hamba-Nya mengandung kebaikan dan hikmah tertentu.
Antara hikmah puasa ialah:
- Menambah keimanan.
Seseorang yang melaksanakan puasa akan merasakan semakin bertambah keimanan dalam dirinya. Ini kerana nafsunya dapat dikendalikan sendiri tanpa ada paksaan. Lagipun tanpa keimanan, seseorang itu tidak akan sanggup melakukan kerja berat seperti puasa di mana mereka terpaksa menahan lapar dan dahaga serta keinginan lain.
- Meninggikan rasa kesepaduan sosial.
Dengan melakukan puasa, maka akan lahir dan dapat meningkatkan rasa kesepaduan sosial sesama umat manusia, saling berasa senasib dan seperasaan.
Bayangkan, seseorang itu tidak tahu bagaimana sakitnya lapar jika dia sendiri belum pernah kelaparan. Jadi, dengan puasa itu akan timbul rasa simpati dan kasih sayang terutama dari golongan berada kepada yang tidak berada atau susah.
- Menjaga kesihatan.
Selama sebulan penuh umat Islam melaksanakan puasa dengan tidak makan dan minum pada siang hari, sedangkan pada sebelas bulan lain, mereka bebas berbuat demikian tanpa batas. Ini bermakna jentera memproses makanan dalam tubuh manusia terpaksa bekerja terus menerus tanpa istirahat.
Mengikut ahli kesihatan, dengan berpuasa akan dapat memelihara kesihatan tubuh. Alat pencerna makanan dalam tubuh manusia dapat diumpamakan sebagai mesin, yang mana jika beroperasi terus menerus tanpa rehat, pasti akan rosak. Maka sewaktu manusia berpuasa ‘enjin’ itu dapat berehat dan membaiki ‘kerosakan’ yang ada.