Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Kini bulan Syaaban telah tiba. Bulan yang terletak di antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w melakukan Israk dan Mikraj manakala bulan Ramadhan di mana umat islam diwajibkan mengerjakan satu rukun Islamnya iaitu berpuasa.
Bulan Syaaban ini adalah bulan yang mulia Nabi Muhammad s.a.w memperbanyak ibadah puasa padanya. Selain daripada itu pada pertengahan bulan ini pula Allah S.W.T perintahkan kepada Nabi Muhammad mengubah hala kiblat kaum muslimin yang mengadap Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis kepada arah Masjidil Haram di Mekah. Lagi pula bulan ini adalah bulan yang sebaik-baiknya untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan, seluruh kaum muslimin melatih diri untuk berbakti kepada Allah S.W.T yang Maha Esa. Bulan Syaaban adalah bulan latihan kecil untuk mencapai kemenangan dalam latihan besar. Sebab itu janganlah dibiarkan kesempatan yang amat berharga ini berlalu dengan percuma sahaja, tetapi pergunakanlah dengan sebaik-baiknya. Perbanyakkanlah kerja-kerja bakti dan puasa sunat dan lipatgandakanlah segala kebajikan padanya.
Di dalam sebuah Hadith Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Rejab itu adalah Bulan Allah, dan Allah telah melebihkan dari segala bulan seperti kelebihanku atas segala makhluknya. Dan Syaaban itu adalah bulanku, dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala nabi-nabi. Dan Ramadhan itu adalah bulan umatku, dan Allah S.W.T telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala umat".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Satu hal yang sangat penting sekali pada bulan ini, ialah malam seperduanya (Malam Nisfu Syaaban). Pada malam itu Allah S.W.T telah menurunkan rahmatnya kepada segala hambaNya yang meminta dan memohon kepadanya. Dan saat itu adalah saat yang sebaik-baiknya untuk memohon rahmat, hidayah dan taufik kepada Allah S.W.T. Maka kita kaum muslimin pada saat yang amat baik dan ketika yang amat elok bermohon kepada Allah dengan hati yang khusyuk dan ikhlas agar umat-umat Islam beroleh bahagia di dunia dan akhirat.
Oleh sebab itu mulai dari sekarang sewajibnya kita menilai semula diri kita bahawa sebenarnya umur kita memang bertambah setiap kali berakhirnya satu hari atau satu bulan. Lebih jelas lagi adalah saat untuk hadir ke pengadilan Yaumul Mahsyar kian dekat. Ini kemungkinan yang kita lupa, kenapakah kita menjadi lupa? Mungkin apa yang disebabkan kita sangka ialah segala sesuatu itu akan selalunya memihak kepada kita. Oleh itu alangkah baiknya setiap kali kita menghitung atau menilai semula diri kita maka kita hitung dan nilaikan semula apakah yang kita lakukan sepanjang hidup kita ini. Lebih-lebih lagi tentang amalan diri kita sendiri kepada Allah S.W.T. Atau apakah kita bertekad untuk meninggalkan segala kemungkaran dan kemaksiatan. Sudahkah kita
tergolong sebagai umat yang belum termasuk ke dalam kategori umat yang menyumbangkan saham syariat agama. Kenapa kita tidak mula membetulkan haluan kita sebagai orang yang menghayati cara hidup beragama. Sebagaimana yang kita maklumi bahawa agama Islam adalah satu agama yang dapat menyelamatkan semua insan. Oleh itu kita sewajibnya memastikan atau menjadikan saudara se-Islam itu sebagai saudara yang sejati sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".
Daripada ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap individu muslim mukmin itu adalah saudara kita. Oleh itu sewajibnya kita memelihara ikatan persaudaraan yang kukuh dan jauhkan daripada sifat buruk sesama manusia.
Muslimin yang berbahagia,
Sebagaimana yang kita maklumi bahawa bulan Rejab adalah bulan ujian, bulan Ramadhan adalah bulan latihan manakala bulan Syaaban adalah bulan persiapan. Untuk itu marilah kita beramal untuk akhirat seolah-olah kita akan mati esok hari dan jika untuk usaha keduaniaan mestilah kita anggap bahawa kita akan hidup selama-lamanya. Segala pekerjaan yang baik janganlah ditangguhkan mengerjakannya sampai esok tetapi hendaklah dikerjakan sekarang juga dengan seberapa segera kerana nyawa dalam genggaman Allah S.W.T.buat akhirnya sempena bulan Syaaban ini marilah sama-sama kita perbanyakkan amal soleh serta bertaubat kepada Allah S.W.T sebelum tiba ajal maut kerana sebagaimana yang kita maklumi bahawa bertaubat itu merupakan satu kewajipan demi memastikan kita bersih dari dosa sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Bertaubatlah kamu semuanya kepada Allah S.W.T wahai orang yang beriman semoga kamu berbahagia". (Surah an-Nur:31)
oleh itu dalam hal ini hindarkanlah dari sifat putus asa atau beranggapan Allah S.W.T tidak mengampuni dosa kita lantaran terlalu banyak berbuat noda dan dosa. Pernah seorang pemuda menangis dan pergi ke rumah Rasulullah s.a.w kerana dosanya yang banyak dan rasanya sudah sampai dikemuncak, tetapi akhirnya diampun juga oleh Allah S.W.T. Dengan ini adalah penting bagi bertaubat kepada Allah S.W.T kerana orang yang bertaubat itu dianggap tidak mempunyai dosa lagi.
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam
Custom Search