Custom Search

Khutbah : KELEBIHAN BULAN REJAB

الحمد الله, الحمدالله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا . أشهد ألا اله الا الله ,واشهد أن محمدا عبده ورسوله, اللهم صلى وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. أما بعد فيا عباد الله إتقوا الله, أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون. قال الله تعالى , أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Yang bermaksud “ Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah diwaktu dia menciptakan langit dan bumi antaranya 4 bulan haram, Itulah ketetapan agama yang benar maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan tersebut dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang bertaqwa.

Surah Attaubah ayat 36

Sidang jumaat yang berbahagia,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada saudara-saudara sekelian hendaklah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan kita tingkatkan darjat taqwa kehadrat Allah dengan kita mentaati serta melakukan segala perintahNya serta meninggalkan segala bentuk larangannya semoga kita digolongkan dikalangan hambanya yang soleh dan benar-benar bertaqwa.

Alhamdulillah pada hari yang mulia ini sama-samalah kita bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala kerana sehingga
hari ini kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah dan sekali lagi kita telah ditemukan dengan bulan yang mulia iaitu bulan Rejab

Hari ini 4 haribulan bulan Rejab, awal bulan Rejab bulan yang menjanjikan balasan, (seribu) kemuliaan di akhirat bagi sesiapa yang memeriahkannya dengan tambahan ibadat. Rejab bulan yang digandingkan berterusan bersama Sya'ban dan seterusnya Ramadhan. Rejab dikenali dengan bulan Allah, Sya'ban bulan Nabi SAW dan Ramadhan bulan istimewa untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Kemeriahan menyambut ketibaan tiga bulan ini sudah sekian lama menjadi tradisi umat Islam yang cintakan keredhaan Allah.

Rejab beerti Ta'zim iaitu membesarkan dan mengagungkan Allah s.w.t. yang sentiasa mengurniakan rahmat kemurahan dan kebajikan.

Bulan ini mengandungi berbagai-bagai kelebihan dari segi ibadat dan peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini antaranya ialah:

1. Peristiwa Isra' dan Mikraj iaitu satu peristiwa yang telah kita maklum menjadi bukti kekuasaan Allah yang mengurniakan mukjizat serta tugas kepada rasul yang menjadi utusanNya dalam peristiwa inilah kita di wajibkan sembahyang 5 waktu.

2. Di bulan ini jugalah berlakunya pembebasan Alquds di Baitulmaqdis daripada golongan musuh Islam oleh Imam Salehuddin AlAyyubi pada tahun 583 hijrah.Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds, di mana beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan harta mereka.

3. Peperangan Tabuk berlaku di bulan Rejab di mana Nabi s.a.w sendiri yang menjadi panglima tentera di dalam peperangan ini yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah. Peperangan ini merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi s.a.w.

4. Di bulan ini juga Rasulullah SAW telah berhijrah ke Habsyah untuk meluaskan dakwah Islamiah. Sehinggalah dakwah Islam dapat tersebar keseluruh Afrika dan dunia amnya.

Peritiwa-peritiwa besar itu tadi semuanya membuktikan kebesaran bulan Rejab yang sepatutnya kita raikan bersama.


Sidang jumaat yang dihormati sekelian,

Setiap muslim dan muslimat yang matang imannya akan sentiasa bersikap mengambil kesempatan dengan ketibaan bulan Rejab ini dan peristiwa-peristiwa penting di dalamnya bagi meningkatkan ketaqwaan diri masing-masing.

Antara amalan yang digalakkan di bulan rejab ialah;

Pertama Puasa

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersadba :- "Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH s.w.t. Dan barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan ini, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam dan barangsiapa berpuasa lapan hari maka dibukakan lapan pintu syurga kepadanya.

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :-

"Ketika kami berjalan bersama-sama Nabi s.a.w. melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH s.w.t. Lalu saya bertanya kepada baginda "Ya Rasulullah s.a.w, mengapakah anda menangis?"

Lalu baginda bersabda : "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka"

Sabda baginda lagi : Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam sahaja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur".

Tsauban bertanya : " Ya Rasulullah s.a.w, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?'

Sabda baginda : "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

Dalam hadis yang lain Rasulullah ada bersabda yang bermaksud;

"Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak akan rasa lapar dan haus bagi mereka.".

Kedua Selawat Ke atas Nabi

Dalam Hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril a.s.: "Wahai Jibril untuk siapakan sungai ini?. Maka berkata Jibril alaihissalam . : "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab ini".


Motivasi pahala yang seumpama ini hendaklah di ambil peluang
oleh kita untuk melaksanakannya dan motivasi ini juga menunjukkan kita sebagai hamba yang dipuji serta dimulikan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah:


Yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka disisi tuhan ialah syurga adna yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, kekal mereka di dalamnya selamanya. Allah redha dengan mereka dan mereka pula redha bersyukur ke atas nikmat pemberian Allah itulah balasan bagi orang yang takutkan tuhannya. (Surah al-Bayyinah ayat 7-8)

Ayat tersebut memberi petunjuk bahawasanya orang yang mempunyai rasa takut kepada tuhannya akan terus beriman dan berebut-rebut melakukan amalan soleh. Oleh itu mereka diberi penghormatan sebagai khairul bariah, sebaik-baik makhluk iaitu orang yang bijak dan matang dalam membuat pilihan dan keputusan.

Sidang Jumaat yang dikasihi

Oleh itu dibulan yang mulia ini marilah sama-sama kita meraikannya serta merebut peluang keemasan ini dengan melaksanakan ibadat seperti puasa, solat, zikir dan sebagainya.

Dikesempatan ini juga saya ingin berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara serta kawan-kawan sekelian sempena cuti persekolahan yang akan bermula esok hari manfaatkanlah ia dengan sebaik mungkin dengan merapatkan lagi hubungan bersama keluarga kita yang tersayang, dan walaupun kita cuti, ingat pelajaran kita janganlah cuti sama kerana selepas cuti ini kita akan menghadapi peperiksaan semester serta tak sampai sebulan selepas itu pepriksaan PMR akan bermul selepas itu SPM. Dan yang paling penting juga jangan lupa melaksanakan ibadat solat 5 waktu serta amalan-amalan sunat lain dibulan Rejab ini semoga kita tergolong dikalangan hamba-hamba Allah yang taat serta mendapat ganjaran sewajarnya dari Allah Subhanahu Wataala


بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم فيه من الآيات واذكر الحكيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.