Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan seterusnya kepada sidang hadirin sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan keinsafan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T kerana kedua unsur inilah yang akan membawa kepada sifat taqwa yang sebenar kepada Allah.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Hari berlalu, berganti bulan dan bulan pula berganti tahun , kini Ramadhan menjelang kembali. Terasa begitu syahdu sekali hati umat Islam setiap kali Ramadhan tiba, kerana kita akan menjalankan ibadah puasa yang menjadi kefardhuan kepada seluruh umat Islam semenjak ialah difardhukan. Menurut pendapat sesetengah ulama' Islam, Allah memfardhukan ibadah puasa pada hari Isnin 2 haribulan Syaaban tahun yang ke-2 Hijrah. Kewajipan ini difirmankan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".
Berpuasa yang menjadi kewajipan hakiki dan fardhu Ain ini bukanlah suatu kewajipan yang sengaja difardhukan oleh Allah tanpa hikmah dan kebaikan di sebaliknya, kerana setiap hukum Allah itu mempunyai kesannya yang tersendiri kepada jiwa hambanya umat Islam. Dengan nafsu yang diberikan oleh Allah, manusia memerlukan bantuan dari hukum Allah sebagai undang-undang mengawalnya dari tujuan ke lembah kehinaan dan kejahatan. Puasa menggariskan undang-undangnya, yang tersendiri dan ianya telah terbukti dapat mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi luhur dan jiwa yang keras menjadi selembut jiwa malaikat. Malaikat tidak makan dan minum, maka berpuasa menjadi kita tidak makan dan minum, Malaikat tidak tidur dan lena, maka kita digalakkan supaya mengurangkan tidur dan banyak qiamulail di bulan Ramadhan ini. Kita disuruh membanyakkan sujud dan ruku' kepada Allah, bersembahyang sunat dan yang wajib kerana amalan Malaikat mereka sentiasa sujud dan ruku' kepada Allah dan kita juga bertasbih dan bertahmid seperti juga
Malaikat yang bertasbih dan bertahmid kepada Allah setiap waktu.
Antara akhlak yang dapat dipupuk dan dibina di bulan yang mulia ini ialah:
1. Mengawal nafsu syahwat yang tiada batasannya. Apabila manusia melakukan sesuatu yang dipancarkan akalnya dari pancaran iman dan taat, maka akan lahirlah gerak-geri yang baik dan murni. Apabila seseorang itu berpuasa menahan makan dan minumnya pada siang hari di bulan Ramadhan dan juga dilarang melihat kepada perkara yang diharamkan oleh Allah, maka apa yang akan berlaku ialah nafsunya dijaga dan diatur dengan baik. Makan dan minumnya diatur oleh Allah pada waktu-waktu tertentu sahaja malah setiap anggota dan pancainderanya mesti dijaga dan dikawal dengan rapi agar puasanya terhasil sebagai puasa yang terbaik, tidaklah hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata termasuklah dilarang melakukan hubungan kelamin di siang hari. Sepertimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka".
2. puasa membentuk diri kita menjadi orang yang pemurah dan suka melakukan kebajikan,. Ini jelas kepada kita apabila tibanya Bulan Ramadhan orang ramai menjadikan budaya bertukar kuih dan masakan untuk menjadi kelangsungan dari dahulukala sehingga sekarang, malah bukan setakat itu sahaja, ada pula di sesetengah masjid dan surau umat Islam berebut-rebut untuk membuat kenduri dan jamuan. Di bulan-bulan lain budaya in seakan-akan tidak pernah wujud tetapi Ramadhan telah mengajar kita menjadi insan yang pemurah. Sepatutnya bukan bukan ini sahaja kita mengamalkan budaya baik ini, malah di bulan lain juga ianya perlu berterusan. Ingatlah pesanan Rasulullah di dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
"pada setiap pagi hamba itu ada dua orang Malaikat berdoa. Satu Malaikat berkata, "Ya Allah berilah kerosakkan kepada mereka yang enggan membelanjakan hartanya untuk sedekah" dan Malaikat yang satu lagi berkata, "Ya Allah berilah gantian kepada mereka yang membelanjakan hartanya".
3. Amalan anak Adam yang tulus ikhlas samada di dalam bentuk ibadah umum atau ibadah khusus digandakan pahala oleh Allah dan pula terhindar dari hasutan syaitan kerana di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda yang bermaksud:
"Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila datang bulan Ramadhan dibukakan pintu Syurga dan dikuncikan segala pintu Neraka dan diikat segala Syaitan".
Persoalannya sekarang, kenapakah masih terdapat di kalangan mereka yang berpuasa tetapi tidak dapat menjaga tingkahlaku dan kesopanan ketika berpuasa dan lebih dahsyat lagi ada di kalangan umat Islam yang tidak berpuasa dan ditambah lagi sanggup melakukan perkara-perkara maksiat di bulan Ramadhan.
Di dalam al-Quranul Karim Allah berfirman pada ayat 114 surah Hud yang bermaksud:
"Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat".
Sempena menyambut Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini marilah sama-sama kita mulakannya dengan puasa yang terbaik yang dapat kita lakukan dan latihlah anak-anak kita dan keluarga kita dengan menjaga adab dan pantang larang sewaktu berpuasa seperti yang dilandaskan oleh Allah selama sebulan, dengan berpuasa ini, dapat mematahkan kekerasaan batu dosa yang terbuku di dalam hati yang kotor dan dapat pula menyembuhkan penyakit jiwa yang dialami oleh nafsu dan syaitan selama setahun yang lalu.
Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai madrasah yang mendidik dan mentarbiyahkan jiwa ke arah menjana hati yang beribadah dan jiwa taqwa kepada Allah.
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudia wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendaapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur". (Surah al-Baqarah ayat 185).