Kita sekarang berada di hari-hari Tasyrik. Hari-hari Tasyrik adalah tiga hari selepas Idul Adha. Ia merupakan hari-hari untuk kita makan dan minum. Maka diharamkan bagi umat Islam untuk berpuasa pada hari-hari ini. Hari-hari Tasyrik juga adalah hari berzikir, bertakbir dan bertahmid. Kita dianjurkan agar bertakbir dari awal subuh hari Arafah sehingga sebelum matahari tenggelam pada hari ke -13 bulan Zulhijjah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermkasud:
"Hari-hari Tasyrik adalah hari makan dan minum juga hari-hari mengingati Allah."
Muslimin yang dirahmati Allah.
Salah satu ciri-ciri istimewa Hari Tasyrik ini adalah ibadah korban. Ia hanya boleh dilakukan pada hari-hari ini sahaja, iaitu dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Idul Adha sehingga sebelum tenggelam matahari ke-13 Zulhijjah.
Ibadah korban ini mempunyai nilai yang tinggi dari sudut ibadah dan kemasyarakatan. Ibadah korban ini adalah satu penyaksian kita terhadap ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. ia salah satu cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Haj, ayat 37 bermaksud:
"Darah yang mengalir dari binatang yang dikorbankan juga daging yang diperolehi dari binatang tersebut, sekali-kali tidak sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai kepada Allah adalah ketentuan dalam diri kamu. Begitulah Allah permudahkan binatang-binatang itu untuk kamu agar kamu membesarkan Allah atas apa yang Dia anugerahkan kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan."
Begitu juga, ibadah korban ini adalah salah satu mekanisme, satu cara untuk mempereratkan lagi hubungan masyarakat. Mereka yang mampu melakukan ibadah korban ini akan membahagikan daging korban tersebut kepada orang-orang lain terutama yang miskin dan tidak mampu. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Haj ayat 36 bermaksud:
"Apabila telah tumbang binatang yang dikorbankan itu maka makanlah dari dagingnya dan berilah sebahagian kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta."
Maka disunatkan kepada mereka yang menjalankan ibadah korban agar mengambil sepertiga dari daging tersebut untuk keluarga sendiri dan memberikan selebihnya kepada orang-orang miskin dan orang-orang yang meminta. Dan jika dia keseluruhannya kepada fakir miskin maka itulah yang sebaiknya.
Mereka yang akan menjalankan ibadah korban ini< disunatkan bagi mereka agar menyembelih binatang korban mereka itu sendiri. Jika tidak mampu maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Lihatlah upacara korban itu apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana ketika itulah Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu. Rasulullah s.a.w menyuruh puterinya Fatimah r.a untuk menyaksikan ibadah korban yang dijalankan atas namanya. Sabda beliau bermaksud:
"Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadah korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir akan diampunkan dosa-dosa kamu yang lepas."
Maka kita disunatkan agar menyaksikan ibadah korban kita itu dan berdoalah kepada Allah: "Ya Allah! Ini dari Engkau dan untuk Engkau maka terimalah dari kami"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Jika kita tinjau dengan lebih teliti lagi akan ibadah ini, kita akan dapati bahawa ia mempunyai pengajaran yang tinggi. Antara pengajaran-pengajaran yang boleh kita dapati adalah.
Pertama: Sikap berkorban individu untuk maslahah masyarakat. Ini adalah antara kekuatan sesebuah masyarakat. Oleh kerana itu, antara nilai-nilai bersama kita di
Kedua: Sikap berlaku baik atau ihsan. Islam mensyariatkan kepada umatnya agar berlaku baik kepada binatang ketika hendak menyembelihnya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah menuliskan kebaikan pada setiap sesuatu. Maka apabila kamu ingin menyembelih maka sembelihlah dengan baik dan hendaklah salah seorang dari kamu menajamkan pisau sembelihannya dan menenangkan binatang yang hendak disembelih itu. Ini adalah untuk binatang korban. Apatah lagi sesama manusia. Tentulah berlaku baik dan ihsan lebih-lebih lagi dititik beratkan. Oleh kerana itu prinsip Islam tidak menzalimi dan tidak dizalimi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"tidak kamu menzalimi dan tidak pula kamu dizalimi."
Kesimpulannya, ibadah korban mempunyai nilai yang tinggi pada sisi Allah S.W.T. yang bukan sahaja dapat membentuk jiwa kita menjadi manusia yang tidak mementingkan diri sendiri malah meletakkan diri kita sentiasa dalam tawaduk merendah diri kepada Allah Tuhan sekalian alam.