Custom Search

Khutbah Ramadhan 1




الحمد الله, الحمدالله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا . أشهد ألا اله الا الله ,واشهد أن محمدا عبده ورسوله, اللهم صلى وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. أما بعد فيا عباد الله إتقوا الله, أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون. قال الله تعالى ,
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم "

Yang bermaksud “ Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah diwaktu dia menciptakan langit dan bumi antaranya 4 bulan haram, Itulah ketetapan agama yang benar maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan tersebut dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang bertaqwa.

Surah Attaubah ayat 36

Kaum muslimin yang berbahagia,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita terhadap Allah S.W.T dengan melakukan segala suruhan dan arahanNya serta meninggalkan segala laranganNya semoga kita tergolong dikalangan hambanya yang Muttaqiin. Hari ini 22 Syaaban 1425 seminggu lagi iaitu minggu depan InsyaAllah sekiranya dipanjangkan umur oleh Allah Taala kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan rahmat, yang hanya dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang dijanjikan Allah S.W.T dengan keampunan dan pahala yang besar. Agar lahirlah kelak kesan daripada puasa yang penuh dengan keikhlasan ini permata yang paling bernilai dan berbahagia untuk seorang hamba iaitu taqwa Ilahi.

Rasulullah s.a.w menyambut bulan Ramadhan dengan mengucapkan kepada sahabat-sahabatnya yang bermaksud:

"Kini telah datang kepada kamu wahai umatku bulan Ramadhan penghulu kepada segala bulan. Maka hendaklah kamu mengucapkan selamat datang kepadanya (dengan hati yang penuh ikhlas dan taqwa) telah datang bulan puasa membawa segala keberkatan. Maka hendaklah umatku memuliakan tetamu yang datang itu.

Allah Taala memuliakan bulan Ramadan dengan FirmanNya

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إYang bermaksud:" Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan kepada kamu untuk berpuasa sebagaimana telah difardhukan ke atas orang-orang yang beriman sebelum kamu, semoga dengannya kamu akan memperolehi ketaqwaan.(Surah al-Baqarah:183).

Kaum muslimin yang berbahagia,

Berdasarkan ayat tersebut Allah S.W.T. telah menyatakan bahawa puasa Ramadhan itu adalah untuk mencapai taqwa Kerana taqwa sahajalah yang akan meningkatkan darjat dan kedudukan manusia pada sisi Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud:

" Sesungguhnya orang-orang yang paling mulia di kalangan kamu pada sisi Allah S.W.T ialah orang-orang yang paling tinggi ketaqwaan mereka.(Surah al-Hujurat:13).

Puasa Ramadhan adalah merupakan suatu ibadat untuk manusia mengembalikan semula fitrah diri mereka kepada asal iaitu sedia berada dalam keadaan suci, kerana berdasarkan proses kejadian anak Adam di dunia ini. Setiap manusia itu sememangnya mudah ditakdirkan oleh Allah apabila lahir sahaja ke dunia ini maka sifat mereka adalah di dalam keadaan fitrah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:.

Setiap anak Adam itu akan dilahirkan dalam keadaan fitrah yakni suci daripada segala dosa dan noda. Maka ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada dengan cara Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Walaupun manusia itu akan tercorak kehidupannya berdasarkan warna yang diberi oleh kedua ibu bapanya namun Allah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya telah mengurniakan kepada manusia akal fikiran, dengan akal fikiranlah sekiranya manusia menggunakannya untuk mencari ilmu dan iman maka manusia tersebut akhirnya akan dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, yang hak dengan yang batil dalam kehidupan ini. Namun sudah menjadi lumrah dalam kehidupan orang-orang yang beriman adakalanya dalam kehidupan ini kita telah tersalah langkah, terdorong untuk menurut kehendak hawa nafsu lalu sama ada sedar ataupun tidak kita telah melakukan dosa-dosa kecil atau besar yang kelak sudah tentu akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T.


Sifat manusia yang pada awalnya bersih dan suci telah ternoda dengan kehitaman dosa-dosa akibat terpengaruh dengan ajakan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Akan tetapi Allah S.W.T yang bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak mahu hamba-hamba-Nya untuk terus berada dalam noda dan dosa. Allah dengan rahmat-Nya yang Maha luas telah menyediakan peluang-peluang yang sentiasa terbuka luas untuk memberi peluang kepada manusia agar kembali kepada diri yang suci sebagaimana fitrah mereka di mana Allah berfirman :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:

" Sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri mereka.

Kaum muslimin yang berbahagia,

Ramadhan adalah peluang keemasan untuk umat Muhammad mengembalikan kesucian diri mereka. Sebab di dalamnya seolah-olah manusia sedang berada di dalam sesuatu madrasah yang terikat dengan pelbagai latihan dan disiplin. Banyak perkara-perkara yang dihalalkan melakukannya pada bulan-bulan yang lain tetapi menjadi haram pada bulan Ramadhan. Contohnya makan dan minum yang diharamkan bagi orang-orang yang sedang berpuasa Ramadhan. Begitu juga pada bulan ini Allah menghendaki para hamba-Nya agar menggandakan lagi amal ibadat mereka dengan menyediakan beberapa ibadat khusus yang telah menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. seperti solat Tarawih, tadarus al-Quran, i'tikaf, bersahur dan bersedekah. Allah S.W.T. telah menjanjikan akan memberi pahala-pahala yang berganda untuk para hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadat ini.


Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith riwayat an-Nasai' yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah menfardhukan puasa Ramadhan dan aku mensunnahkan kamu untuk mendirikan ibadat-ibadat tambahan pada waktu malam dan siangnya. Barang siapa yang berpuasa dan mendirikan amalannya dengan penuh keimanan semata-mata inginkan keredhaan Allah nescaya dia akan keluar dari segala dosa-dosanya seperti hari ibunya melahirkannya.


Berdasarkan hadith ini manusia yang berpuasa Ramadhan hendaklah juga mendirikan ibadat-ibadat tambahan seperti sedekah, solat Tarawih, i'tikaf dan tadarus al-Quran kerana beginilah dia amlan bulan
Ramadhan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. di samping menjaga akhlak, adab dan segala etika yang layak untuk seorang yang dipanggil muslim. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kepada kita umatnya agar berhati-hati supaya tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang ditolak puasa mereka oleh Allah S.W.T. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


"Berapa ramai daripada umatku yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada puasa mereka kecuali hanya merasa lapar dan dahaga.".

Golongan yang ditolak puasa mereka adalah golongan yang tidak bersungguh-sungguh dengan ibadat ini. Ramadhan hanyalah suatu amalan adat dan budaya yang harus dipatuhi agar tidak diketepikan oleh masyarakat ataupun hanya menganggap bulan Ramadhan adalah bulan pesta makanan dan pesta membeli belah semata-mata.

Janganlah kerana hanya sibuk dengan makan dan minum lalu kita mengabaikan tadarus dan solat tarawih. Janganlah kerana sibuk dengan pesta jualan lalu kita mengabaikan ibadah kepada Allah.


Kaum muslimin yang berbahagia,

Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abu Umamah telah memohon agar Rasulullah s.a.w. menyuruhnya melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan faedah lalu sabda baginda yang bermaksud:

"Hendaklah kamu berpuasa kerana puasa itu tiada tandingannya.".

Abu Umamah mengulangi lagi permohonan beliau lalu Rasulullah telah memberi jawapan yang sama. Lalu Abu Umamah memohon lagi bagi kali yang ketiga, tetap juga dijawab Rasulullah.

Tidak syak lagi kepada kita bahawa amalan puasa itu tiada tandingan jika hendak dibandingkan dengan kegiatan-kegiatan yang lain. Sesiapa sahaja yang sampai ke tujuannya dengan mengerjakan dengan penuh keimanan dan keredhaan nescaya akan diampunkan Allah segala dosa-dosanya yang telah dilakukan. Bertolak dari sinilah lahir sebuah hadith Qudsi yang masyhur yang bermaksud:


"Setiap amalan anak Adam akan diganda, bagi setiap kebaikan diberi ganjaran 10 kali ganda hingga 7 ratus kali ganda. Firman Allah S.W.T, kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu bagiku dan akulah yang akan membalasnya. "(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh sebab itulah pada penghujung puasa Ramadhan dinamakan Idul Fitri ataupun hari orang-orang sudah kembali kepada fitrah, dengan maksud mereka sudah berjaya dididik oleh Allah S.W.T. melalui tarbiyah Ramadhan yang penuh dengan ujian dan keberkatan ini.

Justeru itu, marilah sama-sama pada tahun ini kita mempertingkatkan kualiti ibadah kita serta membuat persiapan yang secukupnya untuk kita sama-sama
menyambut bulan Ramadan yang mulia ini Ahlan Wasahlan Ya Ramadan selamat datang wahai Ramadan Kami semua amat merinduimu.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Yang bermaksud:

Bulan Ramadan yang diturunkan Alquran yang menjadi petunjuk kepada semua manusia peyuluh ke jalan yang benar serta membezakan antara yang benar dan yang salah.Barang siapa yang melihat anak bulan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau bermusafir dibenarkan ia menggantikannya pada hari yang lain, sesungguhnya Allah ingin mempermudahkan kamu bukan untuk menyusahkan kamu.

بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم فيه من الآيات واذكر الحكيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.