Custom Search

Khutbah Adab di dalam Masjid dan kawasannya

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
Saya berpesan kepada diri saya dan kepada tuan-tuan sekalian, sama-samalah kita meningkatkan taqwa kita terhadap Allah S.W.T, agar kita tergolong dalam umat mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah, bukan hanya taqwa yang diucap dibibir mulut sahaja, tetapi sampai ke lubuk hati. Dengan kata lain hendaklah kita ikhlas dengan Allah dan ikhlas dengan Islam.

Masjid adalah merupakan sebuah institusi umat Islam yang unggul. Ia adalah menjadi lambing kepada syiar Islam pusat bagi mengembangkan ajaran Islam, pusat perhubungan dan penyelarasan, pusat penerangan, tempat sumber maklumat, tempat mendapat pertolongan dan sebagainya.

Memandangkan betapa pentingnya masjid dalam Islam maka justeru itu usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ke Madinah ialah mendirikan masjid Quba'. Begitulah jejak langkah ini dituruti oleh sahabat-sahabat Rasulullah dimana sahaja mereka berada.

Oleh kerana kedudukan masjid yang sangat istimewa dalam Islam dan peranannya yang cukup besar maka amat wajar masjid-masjid dipelihara dan dihormati dengan sebaik-baiknya. Ini adalah sebagai usaha untuk menjadikan masjid itu benar-benar berperanan sebagai institusi Islam yang unggul dalam masyarakat. Apabila masjid dipelihara dari segi pengurusan, perhubungan awam, keselamatan dan kenikmatan berada di dalamnya maka barulah masjid itu akan berfungsi dengan sebenarnya.

Dalam proses pembangunan yang pesat khususnya di Malaysia pada zaman sekarang ini seharusnya peranan dan sumbangan masjid kepada masyarakat perlu ditingkatkan imej dan pengurusannya. Di samping itu masyarakat juga perlu memberi perhatian dan kerjasama dalam memastikan agar kedudukan dan kesucian masjid terpelihara.

Setelah jelas bahawa masjid mempunyai kedudukan yang istimewa dan terpenting dalam Islam kerana peranannya yang luas terhadap perkembangan syiar dan dakwah Islam maka semestinya masjid itu dipelihara dan dihormati. Dengan itu, menjadi tanggungjawab setiap para jemaah yang mengunjungi masjid memelihara adab-adab atau tatacara yang telah digariskan oleh Islam.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 18 bermaksud:

"Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu aialah mereka yang beriman kepada dan hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Muslimin yang dirahmati Allah,
Ajaran Islam memang melarang umatnya dari bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah lebih-lebih lagi kata-kata keji, lucah dan sebagainya. Larangan tersebut perlu diberi perhatian terutama sekali di dalam masjid dan kawasannya. Berbual perkara keduniaan yang tidak berfaedah langsung dan tidak ada kaiatanya dengan kebahagiaan hidup di akhirat, perlu dihindarkan sama sekali semasa kita berada di dalam masjid. Juga Islam melarang umatnya berkumpul di dalam masjid semata-mata untuk memperkatakan keaiban orang lain lebih-lebih lagi mengumpat, menghina, menuduh, mengejek, menjatuhkan maruah orang lain juga mengangkat suara dengan tinggi. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Dari Ibn Mas'ud r.a Nabi bersabda: akan datang di akhir zaman umatku datang ke masjid lalu mereka duduk berkumpul-kumpul dan yang dibincangkannya hanaya masalah dunia dan kegemaran akan dunia. Janganlah mereka engkau dekati sebab Allah tidak memerlukan kepada mereka." (riwayat Ibn Hubban dan al-Hakim).

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama sejahtera. Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya sama sekali melakukan sesuatu hingga boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak disenangi oleh orang lain. Sikap sesetengah mereka yang pergi ke masjid dan berbuat sama ada perkara baik atau tidak sehingga mengganggu oranglain yang ingin beribadah di dalamnya adalah dilarang. Larangan dari mengangkat suara dengan kuat di dalam masjid jelas seperti dalam hadith yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: setiap yang mendengar teriakan (suara kuat) kerana kehilangan barangan di dalam masjid hendaklah berkata kepadanya: semoga Allah tidak mengembalikan barang tersebut kepadamu. Sebab masjid ini tidak dibina untuk tujuan itu."

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama menjaga keharmonian masjid dan kesuciannya, serta menjaga adab-adabnya. Eloklah kita memperbanyakkan ibadah sunat semasa kita berada di dalam masjid seperti solat sunat tahyatul masjid, beriktikaf, membaca al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertasbih juga beristigfar.

Sama-samalah kita menjauhi dari melakukan dari melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah lebih-lebih lagi perkara/kerja-kerja yang mencemarkan masjid itu sendiri. Oleh kerana itu kita sepatutnya mengembalikan peranan masjid secara utuh ke arah satu paradigma baru iaitu sebagai tempat ibadah dan muamalat yang berasaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dengan itu segala unsure-unsur negatif (tidak elok) yang boleh menjejaskan nama baik masjid tertolak dengan sendirinya.

Sebaik-baiknya kita hendaklah sama-sama menjauhi dari segala perkara yang boleh mencetuskan permusuhan dan pertelingkahan di kalangan umat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Dari Wathilah bin al-Asqa', Rasulullah s.a.w bersabda: jauhkanlah dari dalam masjid anak-anak kecil kamu, orang-orang gila, orang-orang berjual beli, orang yang bermusuh, orang yang bersuara keras, melaksanakan hukuman dan menghunus senjata. Jadikanlah masjid suci dari berbau busuk dan harumkanlah di dalamnya bila berkumpul."

Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 13 bermaksud:

"Hai anak-anak Adam, pakai pakaianmu yang indah disetiap kamu memasuki masjid, makan dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan."