Marilah kita bersama-sama taqwa kepada Allah S.W.T dengan taqwa yang sebenar-benarnya, iaitu dengan kita mengamalkan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Juga taqwa yang sebenar, mewujudkan perangai yang terpuji di dalam gerakgeri seharian kita. Taqwa pada hakikatnya adalah boleh dipisahkan dengan perangai atau akhlak yang mulia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Sebagai seorang hamba, kita sepatutnya ada hubungan yang intim di antara hamba dan Khaliq (hablum minallah) dan hubungan sesama makhluk (hablum mina nas) dalam konteks hubungan hamba dengan khaliq (pencipta) seseorang hamba sewajibnya menghadirkan diri dan jiwa raganya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadu' semasa mengerjakan amal yang soleh dengan mengharapkan keredhaan daripada Allah semata-mata.
Adapun dalam hubungan sesama makhluk, kita dituntut untuk saling menghormati di antara satu sama lain. Hal ini wujud jika seseorang itu dihiasi oleh akhlak yang mulia. Kerana akhlak dalam Islam adalah amat tinggi nilainya, sebab akhlak mulialah merupakan sebagai cermin yang boleh memancarkan nur (cahaya) Islam. Oleh itu pada peringkat awal Nabi Muhammad s.a.w diutus sebagai rasul baginda telah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Hadith riwayat Imam Ahmad)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan tugasnya iaitu menyampaikan wahyu kepada bangsa Arab, pada ketika itu dikenali sebagai Arab jahiliah, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggunakan cara kekerasan atau kata-kata kasar yang menyakitkan hati. Baginda sentiasa bersikap lemah lembut, bersopan santun serta adab yang terpuji. Baginda sentiasa menunjukkan sikap kasih sayang kepada para sahabat juga kepada kaum kafir Quraisy. Baginda tidak membezakan kedudukan para sahabat yang miskin dengan yang kaya, baginda sentiasa mencurahkan sifat kasih sayang kepada fakir miskin.
Sikap beginilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sepanjang hayatnya, hinggalah Rasulullah s.a.w dikenali sebagai rasul yang paling tinggi akhlaknya.
Sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quranul Karim:
"Sesungguhnya engkau wahai Muhammad sebaik-baik makhluk dan mempunyai akhlak yang paling tinggi."
SidangJumaat yang dirahmati Allah,
Akhlak adalah tabiat semulajadi seseorang. Jadi jika ia melakukan perbuatan buruk bermakna ia berakhlak buruk dan jika ia melakukan perbuatan baik maka ia berakhlak baik.
Oleh itu, akhlak ini amat penting kepada kehidupan manusia kerana hasil dari tindakan mereka samada yang berakhlak baik atau buruk sudah tentu memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain terutamanya alam persekitarannya.
Dalam hal ini Islam menjadikan model al-Quran dan Sunnah nabi sebagai sumber akhlaknya. Berpandukan kepada kedua-dua sumber akhlak ini manusia akan hidup aman damai di dunia ini apatah lagi di akhirat. Kerana akhlak dalam Islam mengambil kira cetusan batiniah yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk perbuatan zahiriah. Sebab itu perbuatan yang baik biasanya dicetuskan oleh sifat batiniah yang baik juga. Boleh dikatakan jarang ada cetusan batiniah yang tidak baik melahirkan perbuatan yang baik. Kerana itu Islam melihat sifat batiniah dan zahiriah itu satu perkara penting.
Dengan itu, seseorang yang tidak mempunyai akhlak yang mulia sudah tentu akhlak yang dilahirkan itu tidak bersumberkan kedua-dua sumber tadi. Kerana itulah orang-orang yang tidak mempunyai akhlak yang bersumber akhlak al-Quran dan as-Sunnah tidak ada matlamat hidup dan sentiasa dalam keadaan tidak tenteram. Pelbagai tingkah laku dan perasaan buruk akan lahir dalam dirinya dan akhirnya menyebabkan mereka menjadi masalah kepada masyarakat.
Dalam Islam, akhlak mempunyai pokok-pokok tertentu. Pokok-pokok akhlak dalam Islam itu tidak lain daripada rukun Islam itu sendiri. Rukun Islam ini tidak sahaja merupakan bidang untuk melatih aspek zahir manusia tetapi juga sebagai bidang latihan batin yang lebih mendalam. Latihan dalaman ini lebih penting kerana ia bermatlamatkan untuk memperbaiki budi pekerti manusia. Segala ibadah yang terkandung di dalam rukun Islam ini jika dikerjakan dengan semestinya akan membangkitkan suatu pembangunan budi pekerti dalam diri seseorang yang tidak hanya menambah kuat ikatannya dengan Tuhan pencipta tetapi juga menguatkan jasmani dan tubuh badannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kewibawaan dan ketahanan satu-satu bangsa adalah bergantung kepada bangsa itu sendiri. Jika akhlak bangsa itu baik/mulia maka Insya Allah bangsa itu boleh bertahan dengan lamanya. Jika akhlak bangsa itu kucar kacir/ porak poranda, tunggu masa akan musnahlah bangsa itu. Cubalah kita perhati satu syair Arab Islam yang diutarakan oleh Imam Saukani yang bermaksud:
"Sesungguhnya satu-satu bangsa itu bergantung kepada akhlak/ moral. Bila rosak akhlak/ moral rosaklah bangsa itu."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ibu bapa adalah tanggungjawab utama dalam mendidik anak-anak supaya mereka berakhlak mulia, kemudian seterusnya guru-guru, ketua masyarakat dan kepada pihak-pihak yang berkuasa supaya sama-sama memainkan peranan penting, sama-sama membanting tulang untuk mendidik anak-anak bangsa kita, supaya mereka semua berakhlak yang mulia.
Insya Allah dengan adanya akhlak yang mulia pada setiap insane, lebih-lebih lagi muda-mudi maka mungkin tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang pelajar-pelajar sekolah yang sanggup membakar rumah guru, sanggup membakar bangunan sekolah, sanggup memusnahkan hartabenda sekolah, mendera kawan-kawan sekolah, memeras ugut dan sebagainya.
Khatib: Tuan Haji Azhari bin Haji Othman