Custom Search

Khutbah MANUSIA; MATA DAN MATANYA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah mudah-mudahan kita diberi kejayaan oleh Allah S.W.T di dunia dan akhirat


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Semua hamba Allah berkesempatan melihat keindahan dan kecantikan dunia ini kerana telah ditakdirkan Allah mereka buta penglihatan atau buta mata, mereka hanya tahu sifat sesuatu melalui orang yang celik penglihatan. Oleh itu bagi mereka yang dapat melihat hendaklah bersyukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat penglihatan yang diberikan semoga dengan kesyukuran itu kita akan menggunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuk melihat perkara-perkara yang baik dan memberi faedah kepada kita, seterusnya kita tidak dikatakan bersyukur kepada Allah sekiranya kita menggunakan mata kita untuk melihat perkara-perkara yang dilarang melihatnya.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Secara umum penglihatan manusia bolehlah dikategorikan kepada dua iaitu melihat dengan mata dan juga melihat dengan hati dan sering juga disebut orang melihat melihat dengan matahati. Berdasarkan pembahagian ini maka manusia yang terlibat dengan penglihatan dibahagikan kepada empat golongan:-


Pertama: Manusia yang celik mata dan celik hati. Mereka ini ialah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahan tetapi membataskan penglihatan mereka kepada perkara-perkara yang halal dan harus sahaja. Mereka tidak melihat perkara-perkara yang haram kerana hati mereka tidak membenarkan mereka berbuat demikian


Golongan yang celik mata dan celik hati ini adalah orang-orang yang sentiasa ingatkan kepada Allah walaupun dalam apa keadaannya sekalipun di samping akur dan tunduk kepada ketentuan perancangan Allah. Keadaan mereka ini digambarkan dalam firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud:


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau Maka peliharalah kami dari azab neraka."


"Golongan kedua: Manusia yang buta tetapi celik hati. Manusia seperti ini tidak dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi mereka dapat melihat kebenaran kerana hati mereka celik. Golongan seperti ini juga adalah orang-orang yang selamat kerana mereka langsung tidak melihat kemungkaran yang boleh menyebabkan bertambahnya dosa dan juga tidak terdorong untuk membuat maksiat hati mereka celik dan sentiasa mengajak untuk berbuat kerja-kerja baik yang diredhai oleh Allah. Sebab itulah sidang hadirin sekalian, ramai dari kalangan orang-orang buta yang menjadi hafaz al-Quran kerana kecelikkan hati mereka membantu dan memudahkan mereka menghafaz al-Quran.


Golongan ketiga: Manusia yang celik mata dan buta hati. Mereka itu adalah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi melihat dunia ini dan perkara-perkara yang berkaitandengannya dengan pandangan dan penglihatan yang negatif ertinya mereka menggunakan nikmat mata untuk melihat perkara-perkara yang menghibur dan dapat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka tidak menggunakan mata yang celik ituuntuk melihat perkara yang boleh mendorongkan mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana hati mereka telah buta dan mati. Golongan seperti ini cukup banyak di dunia ini dan mereka terdiri daripada orang-orang kafir dan Islam sendiri yang lemah iman dan tidak mempedulikan aturan dan ajaran Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita semua dari semua peringkat untuk berdakwah dan mengambil apa juga tindakan bagi menyedarkan masyarakat agar jangan menjadi orang yang celik mata dan buta hati jika sekiranya jumlah mereka ramai dan mengatasi pula jumlah orang-orang yang celik hati maka lagi banyaklah b
erlaku kezaliman di muka bumi ini dan kezaliman adalah perkara yang menjadi kebinasaan bagi orang yang buta hati.


Oleh itu marilah kita merenung dan menginsafi diri melalui firman Allah di dalam surah al-Haj ayat 45 dan 46 yang bermaksud:


"Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang terseragam (telah kosong ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembarapun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada."


Golongan keempat: Manusia yang buta mata dan hati. Mereka ini adalah orang-orang yang paling malang kerana sudahlah mereka tidak dapat melihat dunia ini tetapi mereka juga tidak dapat melihat kebenaran melalui pancaindera hidayah Allah ke dalam hati.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Daripada empat golongan manusia yang disebutkan tadi hanya dua golongan sahaja yang bertuah dan istimewa di sisi Allah, golongan pertama ialah yang celik mata dan celik hati dan golongan kedua pula ialah yang buta tetapi celik hati. Oleh itu kita sebagai orang yang dapat melihat dunia marilah kita jadikan diri kita daripada golongan pertama dan sekiranya kita tidak dapat melihat dunia marilah kita masukkan diri kita terlibat dengan golongan kedua dan janganlah sama sekali kita terlibat dengan golongan ketiga dan keempat kerana golongan tersebut orang yang rugi hidupnya di dunia dan di akhirat.


Kita dapat mencelikkan hati kita dengan banyak belajar dan menginsafi diri bahawa diri kita sebenarnya dicipta dan dimiliki sepenuhnya oleh Allah S.W.T. Jika kita faham hakikat ini kita tidak akan sombong dan takbur lagi. Kita tidak akan melanggar larangan Allah dan sebaliknya kita hidup dalam keadaan penuh rendah diri dan sentiasa mematuhi perintah Allah, maka jadilah hati kita yang celik dan boleh melihat kebenaran dan jadilah hati kita hati yang lembut yang dalam menerima kebaikan.


"Orang yang diberi hidayah ialah orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah ar-Ra'd: 28)


Khatib bertugas: Ustaz Kamaruddin bin Zakaria