Custom Search

Khutbah : KELEBIHAN BULAN REJAB

Saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada tuan-tuan sekelian hendaklah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan sama-samalah kita tingkatkan darjat taqwa kepada kehadrat Allah s.w.t. dengan kita mentaati dan melakukan segala perintahnya serta meninggalkan segala larangannya.

Sekali lagi kita telah ditemukan dengan bulan yang mulia iaitu bulan Rejab yang mengandungi kelebihan-kelebihan ibadaat seperti puasa, berzikir, beristiqhfar, bersedekah dan sebagainya juga peristiwa Isra' dan Mikraj iaitu satu peristiwa yang telah kita maklum bahawa adalah menjadi kehendak Allah mengurniakan mukjizat serta tugas penyeruan kepada rasul yang menjadi utusannya. Dengan sifat Allah yang demikian junjungan kita nabi Muhammad s.a.w. khasnya, telah dimuliakan dengan mukjizat yang besar dan ditentukan dia dengan kuasa dan safaat pada hari pembalasan.

Hari ini kita sudah berada dipertengahan bulan Rejab, iaitu bulan yang menjanjikan balasan, (seribu) kemuliaan di akhirat bagi sesiapa yang memeriahkannya dengan tambahan ibadat. Rejab bulan yang digandingkan berurusan bersama Sya'ban dan seterusnya Ramadhan. Rejab bulan Allah, Sya'ban bulan nabi dan Ramadhan bulan istimewa untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Kemeriahan menyambut ketibaan tiga rangkaian ini sudah sekian lama menjadi tradisi umat Islam yang cintakan keredhaan Allah.

Tradisi Islam dalam merayakan ketibaan bulan-bulan tertentu dikatkan dengan peristiwa penting yang mempunyai nilai sejarah dan dijanjikan dengan nilai pahala. Kemuliaan Rejab dengan malam Isra' Mikrajnya, Sya'ban dengan malam nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Rejab beerti Ta'zim iaitu membesarkan dan mengagungkan Allah s.w.t. yang sentiasa mengurniakan rahmat kemurahan dan kebajikan. Dimuliakan dengan mukjizat dan ditentukan dia dengan kuasa dan shafaat pada Hari Pembalasan.

Setiap muslim dan muslimat yang matang imannya akan sentiasa bersikap banyak mengambil kesempatan dengan ketibaan bulan Rejab ini dan peristiwa-peristiwa penting untuk meningkatkan ketaqwaan masing-masing.

Berdoa diawal dan disepanjang bulan Rejab menjanjikan doa yang mustajab. Dengan berpuasa sehari dibulan ini menjanjikan balasan syurga Firdaus, bersedekah menjanjikan bandingan pahala seribu haji dan umrah dan setiap yang melakukan kerja-kerja kebajikan yang boleh melapangkan kekusutannya dan kesusahan saudaranya menjanjikan juga mahligai indah disyurga.

Motivasi pahala yang seumpama ini menampakkan kita sebagai hamba yang dipuji Allah oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah:

Yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka disisi tuhan ialah syurga adna yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, kekal mereka di dalamnya selamanya. Allah redha dengan mereka dan mereka pula redha bersyukur ke atas nikmat pemberian Allah itulah balasan bagi orang yang takutkan tuhannya. (Surah al-Bayyinah ayat 7-8)

Ayat tersebut memberi petunjuk bahawasanya orang yang mempunyai rasa takut kepada tuhannya akan terus beriman dan berebut-rebut melakukan amalan soleh. Oleh itu mereka diberi penghormatan sebagai khairul bariah, sebaik-baik makhluk iaitu orang yang bijak dan matang dalam membuat pilihan dan keputusan.

Seseorang muslim dan muslimat yang bijak sama ada remaja, dewasa atau yang semakin mendekati alam kubur, sentiasa tidak lupa kepada lima muhasabah (perhitungan) iaitu:
1. Tidak lupa kepada muka semasa masih hidup.
2. Tidak lupa kepada hasab ketika memiliki harta benda.
3. Tidak lupa kepada kubur yang sempit ketika masih kepada rumah kediaman yang selesa dan luas.
4. Tidak lupa kepada akhirat ketika cintakan kepada dunia.
5. Tidak lupa kepad Allah ketika cintakan kepada makhluk.

Kita wajiblah memuji dengan ucapan Alhamdulillah serta bersyukur kehadrat Allah s.w.t. yang telah mengharapkan kita seperti golongan yang difiemankan oleh Allah:

Yang bermaksud: Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja taghut, serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Surahaz-Zumar ayat 17-18)

Sempena kita memperingati hari dan bulan yang mulia lagi mempunyai kelebihan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. di mana fardu sembahyang lima waktu telah diwajibkan ke atas kita umat Islam mengerjakannya pada sehari semalam, maka hendaklah kita jadikan sambutan dan perayaan kita dalam mengingati peristiwa yang berlaku dalam bulan yang mulia ini untuk memperbaharui taat kita terhadap titah perintah Allah dan bersegera meninggalkan larangan-larangannya serta membersihkan segala amalan-amalan buruk dan keji, supaya benar-benar amalan kita bersih seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. dan dengan itu besarlah harapan mencapai darjat taqwa yang tinggi dan mendapat kecemerlangan di akhirat kelak sebagaimana firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud: Sesungguhnya untuk orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, khasnya anggur dan perawan-perawan yang sebaya umurnya. (Surah an-Naba' ayat 31-33)

Dalam kehidupan kita di dunia yang sangat singkat waktunya yang paling perlu dan mustahak ialah perlumbaan dalam mengerjakan amalan-amalan yang soleh. Leka dan lalai sepatutnya tidak sama sekali pada setiap dari kita, tekun dan rajin mengerjakan walau sedikitpun, kerana sebaik-baik amalan di sisi Allah itu ialah yang dilakukan dengan setekun-tekunnya tidak memberatkan seorang lebih daripada apa yang ia terdaya.