Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan pada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar taqwa, dengan menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala tegahanNya. Mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan kita dengan nikmat serta taufik dan hidayah yang berkekalan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bersempena Bulan Membaca Kebangsaan yang telah diisytiharkan pada bulan Julai setiap tahun adalah bertujuan menggalakkan masyarakat terutama golongan belia agar minat membaca tidak kira di mana sahaja dan bila-bila masa, mewujudkan masyarakat terutama golongan belia yang menjadikan budaya membaca sebagai satu gaya hidup, meningkatkan usaha dan jumlah pembaca yang berdaftar diperpustakaan seluruh negara dan juga untuk menarik lebih ramai masyarakat terutama golongan belia menggunakan perkhidmatan perpustakaan sebagai satu sumber dalam mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Membaca merupakan asas kepada pengetahuan dan merupakan kunci kepada khazanah keilmuan yang akan diperolehi masyarakat terutama generasi muda ke arah mengangkat martabat ke mercu kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan di akhirat. Tanpa ilmu pengetahuan kehidupan umat akan mundur, hina dan tidak akan mampu sama sekali untuk menjadi umat yang terbaik dan istimewa. Tanpa ilmu pengetahuan juga sudah pasti seseorang itu tidak mampu untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Begitulah pentingnya peranan membaca dalam Islam.
Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1-5 bermaksud:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Ayat yang dibacakan tadi adalah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira'. Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita bahawa Islam menggalakkan umatnya membaca, apa yang dimaksudkan di sini ialah membaca segala bahan-bahan bacaan yang berfaedah seperti al-Quran, Hadith Nabawi, buku-buku yang berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, duniawi dan ukhrawi, termasukbuku-buku yang boleh membina syakhsiah dan akhlak individu yang mendokong semangat kebenaran dan keadilan, muafakat dan produktif.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sejak peristiwa di Gua Hira' itu, Rasulullah s.a.w giat memperkembangkan budaya membaca di kalangan umatnya. Di peringkat awal baginda membacakan al-Quran manakala sahabat mempelajari dan menghafaznya di dalam dada.
Perkembangan awal Islam di Madinah, mereka sibuk mempelajari hal-hal kenegaraan seperti perundangan dan kemasyarakatan di samping perkara-perkara berkaitan muamalat harian seperti perdagangan, pertanian dan sebagainya. Semua itu dicatat dan dibukukan untuk rujukan masyarakat setempat di samping ada juga yang dihantar kepada negara-negara jiran terdekat. Semua itu menjadi bukti bahawa budaya membaca dan menulis mendominasi kehidupan seharian mereka.
Pada zaman khilafah Abasiyyah yang berpusat di
Dari sinilah lahir tokoh-tokoh cendikiawan Islam yang besar dan berkaliber seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, al-Farabi, al-Biruni, al-Khawarizmi dan ramai lagi. Kebanyakkan mereka bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang tertentu malah juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Contohnya Ibnu Sina yang terkenal sebagai pakar perubatan. Dalam masa yang sama beliau juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Malah beliau juga seorang hafiz al-Quran. Begitu juga al-Biruni beliau bukan sahaja seorang pakar astronomi malah beliau juga mahir dalam bidang fizik, matematik, perubatan, geologi, sejarah dan juga bahasa. Begitulah juga dengan tokoh-tokoh yang lain. Itulah kecemerlangan peradaban tamadun ilmu, kesan langsung dari budaya membaca ini.
Benarlah janji Allah bahawa orang yang berilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi, fardhu kifayah tetap teristimewa dan berbeza daripada yang lain-lain sebagaimana firmanNya:
Bermaksud: "Allah meningkatkan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah :11)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita perlu hidup suburkan budaya membaca di seua peringkat terutama di peringkat rumahtangga. Ibu bapa mesti menjadi contoh supaya senang diikuti oleh ahli keluarga. Tunjukkan bahawa membaca itu sebagai satu gaya hidup, supaya anak-anak mencontohinya dalam suasana ceria. Jangan zahirkan bahawa membaca itu sesuatu yang membosankan kerana anak-anak akan beranggapan budaya membaca adalah satu proses yang membebankan. Jadikan buku teman sejati, tanpa buku kita akan menjadi tidak selesa dan berasa seolah-olah hidup ini kurang sempurna kerana pembacaan adalah alat pendidikan sepanjang hayat.
Wujudkan perpustakaan mini di rumah dan belikan buku-buku bermutu untuk bacaan dan rujukan. Bahan-bahan yang siap tersedia menjadi dorongan dan penggalak suasana. Jangan merasa rugi atau teragak-agak untuk membeli bahan-bahan bacaan dengan alasan mahal. Sesetengah ibu bapa sanggup berbelanja untuk barang-barang hiasan yang mahal tetapi tidak untuk membeli buku-buku dan bahan ilmiah. Mereka gemar dipuji akan kelebihan hebat dan bergaya tetapi tidak untuk memperkasa kekuatan ilmiah dan memperkaya minda.
Jika kita kurang mampu membeli buku-buku, bawalah keluarga ke perpustakaan awam, ekspo buku-buku dan pameran yang seumpamanya supaya suasana begini dapat mendorong dan menyuntik semangat gemar membaca.
Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita sepanjang zaman sejak arahan pertama baginda terima agar menyuburkan budaya ilmu dan budaya membaca sebagaimana sabda baginda:
Maksudnya: "Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim." (Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Membaca adalah proses memperkayakan maklumat, memantapkan pemikiran dan mendewasakan tindakan. Orang yang banyak maklumat, ideanya selalu bernas dan tindakannya selalu betul dan kemas. Membaca boleh membebaskan minda, membina sikap positif, terbuka dan lapang dada, boleh menerima teguran, mudah diajak berbincang ke arah kebaikan dan terlepas daripada "tempurung" keegoan sendiri. Kualiti begini perlu dalam diri seseorang mukmin yang berjiwa besar yang mampu menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.
Sebaliknya orang yang kurang membaca selalu berkurung dalam "tempurung" sendiri, terbelenggu dalam kejahilan, terperangkap dalam salah faham. Mereka yang begini selalu bertindak terburu-buru, mengikut perasaan yang boleh mengganggu ketenteraman dan mengancam keselamatan.
Terdapat banyak fenomena begini berlaku dalam masyarakat kita. Ada kumpulan yang terlibat dalam ajaran sesat. Ini adalah gejala penyelewengan dan kegoncangan akidah maklumat yang tidak tepat kerana tidak membaca dan belajar agama daripada sumber yang benar. Ada orang terlibat dengan jenayah, keganasan, merosakkan kemudahan awam dan mengganggu keselamatan awam, gejala tidak memahami konsep hidup bermasyarakat kerana tidak membaca karya-karya keagamaan dan kemasyarakatan yang boleh membina kemanusiaan, kasih sayang dan kejujuran.
Begitulah juga dengan sikap-sikap negatif dan provokasi yang lain-lain yang banyak berlaku dalam masyarakat kita adalah petunjuk sikap tertutup, kerana kurang membaca dan memahami nilai-nilai agama dan norma-norma budaya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita kembali kepada seruan Allah dengan memperteguhkan iman dan memperkukuhkan jati diri sebagai muslim sejati. Satu-satunya jalan mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca daripada sumber-sumber yang benar dan soheh. Marilah kita menghidupkan kembali budaya membaca yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan dengan kekuatan ilmu kita dapat mencipta kecemerlangan dan memartabatkan umat ke mercu kejayaan di samping itu mampu bersaing di era globalisasi di alaf mendatang yang cukup mencabar. Semoga kita semua tergolong sebagai "Khairu Ummah" sebaik-baik ummah.
Custom Search