Saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dalam ertikata yang sebenar-benarnya dengan mengabdikan diri kepada Allah. Tunduk dan taat terhadap perintah Allah serta menjauhi larangan-larangan-Nya agar kita akan selamat dari kehinaan yang melebihi haiwan rimba.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Terdapat di kalangan masyarakat manusia dewasa ini yang ditimpa satu penyakit yang amat berbahaya. Penyakit itu telah tumbuh merebak dan menular bukan sahaja di kalangan anak-anak muda malahan seluruh lapisan masyarakat. Penyakit itu amat berbahaya malahan lebih bahaya daripada penyakit AIDS dan penyakit kanser. Ini bukan sahaja boleh membunuh manusia tetapi boleh membunuh segala asas kehidupan manusia. Malahan boleh memusnah serta merosakkan masyarakat, negara dan agama.
Penyakit itu adalah penyakit jahil terhadap Allah S.W.T, jahil terhadap agama yang menyebabkan timbulnya berbagai-bagai gejalakemungkaran dan dosa di kalangan manusia hari ini. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat kesan-kesannya apabila nafsu menguasai diri manusia. Justeru itu, manusia bertindak mengikut kehendak nafsu buasnya. Mereka melakukan seribu satu macam kezaliman, penyelewengan, penindasan, pencerobohan, kerosakan dan sebagainya. Malahan yang paling menyedihkan lagi terdapat golongan yang mengaku Islam dan beriman kepada Allah tetapi angkuh mendabik dada. Mencabul hak-hak dan perintah Allah dengan melakukan berbagai-bagai gejala kerosakan dan kezaliman terhadap diri sendiri dan agama.
Akidah mereka porak-poranda dan mereka menjadi hamba kepada nafsu dan keduniaan. Justeru itu, masyarakat menghadapi suasana yang begitu kacau serta turut merunsingkan. Kehidupan tidak lagi tenang dan tenteram. Negara diancam dengan berbagai-bagai krisis sosial.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Pada zahirnya kita melihat berbagai-bagai pihak menunjukkan minat untuk membenteraskan gejala-gejala buruk yang telah bermaharajalela, namun usaha itu tidaklah diberi perhatian oleh semua pihak dengan bersungguh-sungguh dan kemungkaran yang timbul memberi peluang merebak serta meluasnya kejahatan-kejahatan dan kemungkaran yang lain.
Gejala-gejala buruk ini mendapat tempat istimewa dan ulasan untuk menjadi berita hangat. Malahan lebih hebat dari ledakan gunung berapi untuk menarik minat para pembaca. Akhirnya gejala-gejala buruk dan mungkar ini akan menjadi bahan ukuran baik dan jahat bagi manusia. Hal ini akan menjadi bahan hiburan atau bahan bacaan biasa dan dalam masa yang sama angka sistematik semakin tinggi memuncak sehingga diruang-ruang penjara dan rumah-rumah pemulihan akhlak tidak mempunyai tempat lagi.
Tujuan kita memaparkan keburukan ini untuk menjadi kesedaran kepada kita terhadap realiti yang sebenar yang sedang berlaku di hadapan kita.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Terdapat dua faktor yang besar telah menyumbangkan ke arah berlakunya gejala-gejala buruk di kalangan masyarakat hari ini. Antara lain:
1. Kejahilan nenek moyang dan ibu bapa mereka terhadap Allah S.W.T, terhadap agama, hukum-hukum Allah dan syariatnya. Lantas mereka mewarisi tanpa banyak persoalan.
2. Kebanyakan ibu bapa Islam asyik mementingkan cita-cita untuk merebut keduniaan. Lantas mereka mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan agama. Ke hulu ke hilir mengikut kehendak hati.
Apa yang jelas kepada kita ialah pentingnya pendidikan yang boleh menyelamatkan diri dari kejahilan terhadap Allah S.W.T. Allah S.W.T mengutuskan para Rasul dan Nabi-Nya di tengah masyarakat yang hancur akhlak terpuji dari Allah dan menjadi teladan untuk diikuti oleh masyarakat manusia.
Manusia mesti diberi ilmu pengetahuan, dididik mengenal syariat Allah dan taqwa kepadanya serta mengetahui halal dan haram. Andainya manusia tidak didedahkan dengan ilmu-ilmu ini malahan dengan ilmu-ilmu keduniaan semata-mata. Justeru itu mereka boleh berlaku berbagai-bagai gejala buruk melebihi batasan.
Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya ada menyatakan bahawa anak-anak merupakan buah hati kepada kedua ibu bapanya. Dan al-Quran juga menyatakan mereka merupakan penenang hati kedua ibu bapanya. Kelahiran mereka disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Tidak ada hati ibu bapa ingin melihat anak-anaknya terjerumus ke lembah kehancuran tanpa haluan dan penderaan.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Islam merupakan agama fitrah yang memenuhi segala ruang lingkup kehidupan manusia. Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab dan peranan yang mesti dilaksanakan oleh ibu bapa sebagai pendidik yang terdekat kepada anak-anak. Jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna Insya Allah akan tercapai kecemerlangan. Banyak nas yang menerangkan tentang kewajipan pendidikan Islam. Pimpinan terhadap anak-anak yang perlu dilaksanakan oleh kedua ibu bapa antara lain firman Allah S.W.T yang bermaksud:
" Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari bakaran api neraka, kerana bahan bakarannya adalah manusia dan batu yakni patung. Manakala pengawalnya terdiri dari para Malaikat yang bengis dan kasar layanannya. Mereka tidak pernah menderhakai Allah serta patuh kepada segala suruhan-Nya."
Melalui hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Didiklah anak-anak kamu dengan ilmu pengetahuan, latihlah mereka dengan akhlak yang mulia. "
Manakala Imam al-Ghazali berkata, "Anak-anak merupakan nikmat kurniaan Allah kepada orang tuanya. Hati mereka suci ibarat sebutir permata yang boleh dicanai sesuka hati pengurusnya. Justeru itu, anak-anak merupakan amanah Allah kepada orang tuanya dan mereka wajib mendidiknya dengan sempurna.
Bayangkan betapa hinanya jika berlaku kepada muda-mudi hari ini yang tanpa didikan agama akibat kegagalan ibu bapanya dari memberi pendidikan keagamaan secukupnya, khususnya asas-asas fardhu ain dan al-Quran. Anak-anak hidup melarat tanpa pimpinan dan pegangan akhirnya terjebak dengan berbagai-bagai gejala buruk. Hal ini bersesuaian dengan kata-kata hukamat yang bermaksud:
" Bukanlah anak yatim itu, anak yang telah kematian kedua ibu bapanya dan mereka hidup melarat di dalam keadaan kemiskinan. Tetapi yang dipanggil yatim itu adalah anak-anak yang ibunya tidak mempedulikannya. Manakala bapanya pula sentiasa sibuk dengan urusan harian. "
Sidang jumaat yang berbahagia,
Marilah kita sama-sama memastikan bahawa diri kita telah memiliki ilmukeagamaan, begitu juga anak-anak dan mereka di bawah tanggungjawab kita serta melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kewajipan kepada semua pihak. Insya-Allah kita akan selamat dari bencana kerosakan yang akan menimpa. Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
" Kebanyakan berlaku gerak gempa dan bencana alam samada di darat atau di laut hasil kerja manusia sendiri. Kerana Allah ingin mengenakan kepada mereka sebagai balasan agar mereka kembali insaf dan sedar. "