Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita semua bertaqwa dan berbakti kepada Allah S.W.T dengan menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan kita dengan nikmat serta taufik dan hidayah yang berkekalan.
Sebagaimana yang kita maklumi bahawa al-Quran adalah kitab Allah yang dituruhkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w untuk menjadi panduan dan pegangan kaum muslimin. Di dalamnya mengandungi pelbagai ilmu, contoh dan sebagainya. Semuanya kita boleh dapati di dalam al-Quran. Segala masalah kaum muslimin tidak akan menjadi buntu dan sudah pasti akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui al-Quran. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Tidak Kami lupakan suatu pun di dalam Kitab".
(Surah al-An Am:38)
Pernah suatu ketika seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Abdullah bin abas r.a pernah berkata, maksudnya: kalau sekiranya tali unta hilang daripadaku, nescaya aku akan mendapatkannya di dalam al-Quran. Al-Imam as-Syafie berkata di dalam kitab (ar-Risalah) maksudnya: setiap peristiwa yang terjadi pada diri seorang muslim pasti akan didapati dalil / alasan / petunjuk di dalam al-Quran untuk penyelesaiannya.
Manakala al-Imam al-Ghazali pula berkata di dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin,: Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, yang sekarang juga yang akan datang, semuanya berpunca dari al-Quran. Oleh kerana al-Quran adalah sumber utama agama Islam maka setiap orang mengaku bahawa agama Islam mengandungi ajaran yang paling sempurna, yang pasti boleh menjamin dan menyelesaikan semua persoalan dan permasalahan yang timbul dalam segala bidang.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Inilah al-Quran dan inilah kalam dan wahyu Allah. Ia diwariskan oleh Rasulullah s.a.w kepada kaum muslimin untuk diikuti dan dipatuhi. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Telah aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya".
Sayangnya umat islam sekarang, di mana pun mereka berada, telah memmisah diri dari al-Quran. Ini berikutan peristiwa negara Islam dijajah oleh Barat, maka fikiran umat Islam yang negaranya dijajah juga telah dijajah.
Penjajah telah berusaha bersungguh-sungguh supaya umat Islam melupakan al-Quran dan pengajarannya melalui pelbagai program dan perancangan. Sebenarnya, ilmu-ilmu itu mereka perolehi dari negara-negara Islam yang mereka jajah dahulu. Kemudian ilmu-ilmu itu dibawa balik ke negara mereka di barat dan di mana ilmu-ilmu tadi dikaji dan diuji, diproses dan dilahirkan semula. Hasilnya, wujudlah ia sebagai ilmu-ilmu dari barat yang kemudiannya dibawa ke merata dunia, termasuklah ke negara-negara Islam sendiri. Ia langsung diterima oleh umat muslimin yang dijajah sebagai ilmu-ilmu baharu.
Berikutan dengan itu pandangan dan tumpuan kaum muslimin pun mulai berubah. Sedikit demi sedikit mereka mulai menjauhkan diri dari al-Quran. Akibatnya pebelajaran dan pengajian al-Quran menjadi tidak penting dan diabaikan.
Kaum muslimin yang berbahagia,
Jadinya, masalah yang ada dihadapan kita sekarang bukan lagi masalah penerimaan dan penolakan ajaran al-Quran oleh orang-orang bukan Islam, tetapi ialah sikap dan tahap penerimaan al-Quran oleh orang-orang Islam sendiri. Masalah ini patut diberi perhatian yang berat. Lebih tepat lagi ialah salah faham orang Islam ataupun kurang faham itulah maka kebudayaan barat dianggap sesuai dengan Islam yang tidak bersandar langsung kepada al-Quran pun dianggap tidak bertentangan dengan Islam.
Oleh kerana itu wujudlah berbagai-bagai masalah dalam kehidupan masyarakat. Berikutan pengajaran al-Quran tidak diambil berat oleh umat Islam, maka hidup mereka tidak ada haluan hidup. Mereka terjebak di dalam perangkap dadah, tidak menghormati orang tua dan mengabaikan ibu bapa. Ingatan pengabdian diri terhadap Allah langsung tidak ada. Yang ada pada mereka ialah melayan kepuasan hidup pada masa muda sahaja.
Sebab itulah umat Islam sekarang menjadi permainan orang kafir dan sebab itulah sebahagian umat Islam menjadi mangsa keganasan orang kafir.
"Sesiapa yang berpaling dari mengingati Aku maka baginya hidup yang terbiar (terumbang ambing)". (Surah Ta Ha:124)
kaum muslimin yang berbahagia,
kita pada hari ini sewajibnya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan sifat pemurahnya kita tidak dibiarkan hidup bersendirian dan kita tidak dilepas hidup tanpa panduan. Kita dibekalkan oleh Allah dengan Kitab Suci al-Quranul Karim untuk membimbing dan memandu kita dalam menghadapi hidup di bumi ini. Kita dijadi dan diwujudkan oleh Allah di muka bumi ini adlah untuk bekerja dan beramal mengikut panduan dan pengajaran yang diberikan oleh al-Quran. Dan Allah juga yang memerhati dan menilai segala perbuatan kita itu. Kita sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menilai perbuatan kita dan kita juga tidak diberi kuasa untuk membalas perbuatan kita sendiri.
Marilah sama-sama kita mempelajari al-Quran, menadah dan membaca makna dan pengajaran al-Quran dan seterusnya beramal dan bekerja mengikut al-Quran kerana al-Quran adalah panduan hidup kita.
"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar". (Surah al-Isra': 9)